18.9.08

DBKL rangka strategi jangka panjang ubah kehidupan, ekonomi warga kota

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan sasaran 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar di ibu negara dengan membantu golongan sasaran mengubah kehidupan menerusi kemahiran dan peluang perniagaan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata peratusan bagi tahap kemiskinan tegar di Kuala Lumpur hanya 0.03 peratus daripada kapasiti penduduknya iaitu seramai 1.6 juta orang, malah ia dijangka terus menurun berikutan pelbagai program menjana pendapatan.

“Tahap kemiskinan tegar yang digariskan kerajaan adalah separuh daripada RM750, namun di Kuala Lumpur, jumlah penduduk atau keluarga yang dimasukkan dalam garis miskin tegar sangat sedikit kerana kebanyakan anak keluarga miskin daripada keluarga terbabit dibekalkan pelajaran dan kemahiran.

“Sebagai usaha penggalak, DBKL bersama agensi berkaitan menawarkan skim pendidikan, kemahiran, bantuan persekolahan, kelas tambahan dan aktiviti lain kepada golongan sasaran termasuk ibu tunggal, warga emas, anak yatim, belia dan orang kurang upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan duit raya kepada 450 golongan berpendapatan rendah yang berdaftar dengan Pusat Rahmat membabitkan pemberian wang tunai sebanyak RM300 serta kain setiap seorang di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial DBKL, Dr Ismail Stapa.

Aktiviti sumbangan sempena perayaan yang dijalankan sebagai acara tahunan itu diharap mampu meringankan beban warga kota berpendapatan rendah sekali gus berkongsi keceriaan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Kita mempunyai strategi jangka panjang dan pendek merangkumi latihan kemahiran asas seperti jahitan, sulaman, dan kecantikan selain bengkel keusahawan, kaunseling serta pemasaran bagi pelan jangka panjang manakala jangka pendek membabitkan bantuan makanan dan beri peluang pekerjaan.

“DBKL turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyalur bantuan menerusi kami seperti bantuan sewa rumah, kemasukan ke universiti, elaun sara hidup, ban

Ab Hakim berkata, usaha menyeluruh itu diharap menjadi pemangkin kepada golongan sasaran untuk berusaha mengubah nasib dan generasi keluarga mereka supaya tidak terus dibelenggu kemiskinan.

berita harian online,selasa 16 september 2008

Tidak ada komentar: