18.9.08

berita harian online (18 september 2008)

Sentral: DBKL keluar 546,460 notis kesalahan

Pelanggaran trafik penyumbang terbesar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 546,460 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Januari hingga Ogos lalu berbanding 513,805 notis kesalahan sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Rolan Abd Rahman, berkata 299,173 notis adalah membabitkan kesalahan trafik yang menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, sejumlah 4,104 penjaja tanpa lesen disita dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,645 adalah tindakan sita terhadap penjaja bukan warga negara.

“Jumlah ini tidak termasuk tindakan terhadap penjaja bunjut iaitu sebanyak 415 dan tukang kasut sebanyak 337,” katanya di sini.

Katanya, bagi tindakan penjualan VCD/DVD tanpa lesen sebanyak 199,740 keping DVD/VCD membabitkan 479 kaunter disita sepanjang tempoh berkenaan, manakala 446 notis kesalahan dikeluarkan bagi kesalahan tidak menggunakan jejantas dan 1,884 kenderaan ditunda kerana menyebabkan halangan lalu lintas.

“Jabatan juga menghadapkan ke mahkamah 207 orang yang disyaki penjaga kereta haram. Bagi halangan di tempat awam kita menyita 24,051 barangan iaitu kerusi 11,482 unit, meja (3,830) dan selebihnya adalah payung, dapur dan rak peraga,” katanya.

Rolan berkata, bagi menangani masalah penjaja warga asing di samping menyita 1,842 barangan yang dijaja mereka, jabatan juga mengatur operasi bersepadu bersama agensi seperti polis, Jabatan Imigresen, Rela, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya warga asing terbabit dapat disiasat dan ditahan mengikut kuasa yang ada pada agensi berkenaan.

“Kita dapati wujud peningkatan memberangsangkan dari segi tindakan penguatkuasaan tetapi dari segi keberkesanannya masih ada ruang yang memerlukan sokongan dan kerjasama daripada warga kota yang prihatin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pegawai dan anggota penguat kuasa keberkesanan dan kecemerlangan perkhidmatan jabatan bergantung kepada semangat kesetiaan, disiplin diri, integriti dan sikap bertanggungjawab semua pegawai dan anggota penguat kuasa itu sendiri.

“Ciri-ciri ini hendaklah terus dipupuk dan dikekalkan dalam jiwa kita setiap masa. Kerjaya ini bukan semata-mata sebagai satu pekerjaan untuk mencari nafkah tetapi lebih kepada amanah.

“Justeru, ia perlu komitmen terhadap tugas serta keperluan dan kesanggupan untuk meningkatkan kemahiran supaya masing-masing boleh memaksimumkan sumbangan kepada jabatan, Datuk Bandar dan Kuala Lumpur,” katanya.

DBKL rangka strategi jangka panjang ubah kehidupan, ekonomi warga kota

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan sasaran 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar di ibu negara dengan membantu golongan sasaran mengubah kehidupan menerusi kemahiran dan peluang perniagaan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata peratusan bagi tahap kemiskinan tegar di Kuala Lumpur hanya 0.03 peratus daripada kapasiti penduduknya iaitu seramai 1.6 juta orang, malah ia dijangka terus menurun berikutan pelbagai program menjana pendapatan.

“Tahap kemiskinan tegar yang digariskan kerajaan adalah separuh daripada RM750, namun di Kuala Lumpur, jumlah penduduk atau keluarga yang dimasukkan dalam garis miskin tegar sangat sedikit kerana kebanyakan anak keluarga miskin daripada keluarga terbabit dibekalkan pelajaran dan kemahiran.

“Sebagai usaha penggalak, DBKL bersama agensi berkaitan menawarkan skim pendidikan, kemahiran, bantuan persekolahan, kelas tambahan dan aktiviti lain kepada golongan sasaran termasuk ibu tunggal, warga emas, anak yatim, belia dan orang kurang upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan duit raya kepada 450 golongan berpendapatan rendah yang berdaftar dengan Pusat Rahmat membabitkan pemberian wang tunai sebanyak RM300 serta kain setiap seorang di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial DBKL, Dr Ismail Stapa.

Aktiviti sumbangan sempena perayaan yang dijalankan sebagai acara tahunan itu diharap mampu meringankan beban warga kota berpendapatan rendah sekali gus berkongsi keceriaan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Kita mempunyai strategi jangka panjang dan pendek merangkumi latihan kemahiran asas seperti jahitan, sulaman, dan kecantikan selain bengkel keusahawan, kaunseling serta pemasaran bagi pelan jangka panjang manakala jangka pendek membabitkan bantuan makanan dan beri peluang pekerjaan.

“DBKL turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyalur bantuan menerusi kami seperti bantuan sewa rumah, kemasukan ke universiti, elaun sara hidup, ban

Ab Hakim berkata, usaha menyeluruh itu diharap menjadi pemangkin kepada golongan sasaran untuk berusaha mengubah nasib dan generasi keluarga mereka supaya tidak terus dibelenggu kemiskinan.

berita harian online,selasa 16 september 2008

Berita harian online,selasa 16 september 2008

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempertimbangkan sebarang cadangan bagi memperbaiki Draf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 (DPBKL) yang kini dalam peringkat pendengaran awam sebelum diwartakan sepenuhnya selewat-lewatnya Februari depan.

Menterinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, walaupun tarikh tutup sudah berakhir, namun pihaknya masih mempertimbangkan cadangan yang diusulkan bagi membolehkan draf itu dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Kami menerima banyak cadangan membina dan bantahan sehingga tarikh tutup bantahan pada 31 Ogos lalu. Ahli Jawatankuasa Mendengar Bantahan yang dilantik akan mempertimbangkan semua bantahan yang diterima dengan adil mengikut garis panduan tertentu.

“Kami menghargai semua maklum balas yang diterima walaupun ada pihak yang menentang dan menyokong DPBKL dan akan segera membawanya kepada ahli jawatankuasa sehingga Disember ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan di Bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid Jamek di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Datin Seri Siti Nooriah Ana Razak; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop.

Zulhasnan berkata, draf itu akan diwartakan selepas semua maklum balas yang diterima dapat dipertimbangkan sepenuhnya bagi membolehkan pembangunan di ibu negara dilaksanakan secepat mungkin.

“Selepas dibawa kepada Jawatankuasa Mendengar Bantahan, draf akan dihantar kepada kementerian dan kemudian kepada ahli jawatankuasa terakhir sebelum diwartakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulhasnan turut mengumumkan mengenai peningkatan permohonan lesen penjaja sempena Ramadan sejumlah 3,547 berbanding 2,795 tahun lalu.

8.9.08

Peta Lokasi


7.9.08

Sejarah KUALA LUMPUR..


Pengenalan
Daripada sebuah pekan kecil Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Kota Negara dan sebuah bandar yang terbesar di Malaysia. Bandar Raya Kuala Lumpur kini menjadi penting dan menjalankan peranan dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, kewangan, pentadbiran, pendidikan, agama, kebudayaan dan sukan.
Hal ehwal perbandaran Kuala Lumpur ditadbirkan oleh satu perbadanan tunggal (corporation sole), sejak 1 April 1961 iaitu Pesuruhjaya Ibu Kota yang kemudian diubah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur dianugerahkan taraf Bandar Raya pada 1 Februari 1972.
Tan Sri Dato' Lokman Yusof bekas Pesuruhjaya Ibu Kota telah dilantik sebagai Datuk Bandar yang pertama. Beliau meninggal dunia pada 15.5.1972. Tan Sri Yaakob Latiff telah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kedua selama 10 tahun. Beliau telah digantikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketiga iaitu Tan Sri Dato' Elyas Omar pada 1.2.1983. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang keempat ialah Dato' Dr. Mazlan Ahmad yang telah dilantik pada 17.11.1992. Tan Sri Dato’ Kamaruzzaman Shariff, Datuk Bandar Kuala Lumpur kelima, dilantik sebagai Datuk Bandar pada 14.12.1995 hingga 13.12.2001. Beliau diganti oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur yang keenam iaitu Y. Bhg. Kol. Datuk Hj. Mohmad Shaid b. Mohd Taufek yang dilantik pada 14.12.2001. Kemudian, daripada 14.12.2004 sehinggalah 13.12.2006, jawatan Datuk Bandar yang ketujuh telah disandang oleh Y Bhg. Dato' Hj. Ruslin bin Hj. Hasan. Kini, bermula dari 14.12.2006, jawatan Datuk Bandar yang kelapan telah disandang oleh Y Bhg. Dato' Ab. Hakim bin Borhan.

Antara gambar Kuala Lumpur...



Kuala Lumpur 1926








Kuala Lumpur 2003

DBKL...

Visi DBKL
-Ke arah menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur, sebuah bandaraya bertaraf dunia.

Objektif DBKL
-Memastikan dan mempercepatkan pelaksanaan pencapaian status bandaraya bertaraf dunia yang unggul dan cemerlang.

Dasar Kualiti DBKL
-Menyedia dan mempertingkatkan perkhidmatan yang efisyen, mesra dan telus, selari dengan kemajuan dan pembangunan kakitangan.

Slogan DBKL
-Bersedia menyumbang ke arah bandaraya cemerlang.

Fungsi DBKL
  • Memberi perkhidmatan pembersihan dan pelupusan sampah.
  • Memberi perkhidmatan kesihatan awam dan mengawal pencemaran.
  • Mengurus pengindahan bandar.
  • Membina dan menyelenggara jalan, mengadakan prasarana pengangkutan serta mengurus sistem lalulintas.
  • Membina dan menyelenggara sistem perparitan dan sungai. Merancang dan mengawal pembangunan bandar.
  • Membina dan mengurus perumahan awam.
  • Pengurusan, pengawalan dan penempatan semula setinggan.
  • Mengurus dan mengawal hal ehwal penjaja dan peniaga kecil.
  • Mengeluar dan mengawal lesen perniagaan. Merancang dan melaksanakan aktiviti sukan, kebudayaan dan pelancongan.
  • Menyediakan, mengurus dan menyenggara kemudahan awam (stadium, kompleks sukan / pusat komuniti, masjid / surau, taman rekreasi, pasar, pusat penjaja, perpustakaan, tandas awam, perhentian bas / teksi, tanah perkuburan dan krematorium).