18.9.08

berita harian online (18 september 2008)

Sentral: DBKL keluar 546,460 notis kesalahan

Pelanggaran trafik penyumbang terbesar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 546,460 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Januari hingga Ogos lalu berbanding 513,805 notis kesalahan sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Rolan Abd Rahman, berkata 299,173 notis adalah membabitkan kesalahan trafik yang menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, sejumlah 4,104 penjaja tanpa lesen disita dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,645 adalah tindakan sita terhadap penjaja bukan warga negara.

“Jumlah ini tidak termasuk tindakan terhadap penjaja bunjut iaitu sebanyak 415 dan tukang kasut sebanyak 337,” katanya di sini.

Katanya, bagi tindakan penjualan VCD/DVD tanpa lesen sebanyak 199,740 keping DVD/VCD membabitkan 479 kaunter disita sepanjang tempoh berkenaan, manakala 446 notis kesalahan dikeluarkan bagi kesalahan tidak menggunakan jejantas dan 1,884 kenderaan ditunda kerana menyebabkan halangan lalu lintas.

“Jabatan juga menghadapkan ke mahkamah 207 orang yang disyaki penjaga kereta haram. Bagi halangan di tempat awam kita menyita 24,051 barangan iaitu kerusi 11,482 unit, meja (3,830) dan selebihnya adalah payung, dapur dan rak peraga,” katanya.

Rolan berkata, bagi menangani masalah penjaja warga asing di samping menyita 1,842 barangan yang dijaja mereka, jabatan juga mengatur operasi bersepadu bersama agensi seperti polis, Jabatan Imigresen, Rela, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya warga asing terbabit dapat disiasat dan ditahan mengikut kuasa yang ada pada agensi berkenaan.

“Kita dapati wujud peningkatan memberangsangkan dari segi tindakan penguatkuasaan tetapi dari segi keberkesanannya masih ada ruang yang memerlukan sokongan dan kerjasama daripada warga kota yang prihatin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pegawai dan anggota penguat kuasa keberkesanan dan kecemerlangan perkhidmatan jabatan bergantung kepada semangat kesetiaan, disiplin diri, integriti dan sikap bertanggungjawab semua pegawai dan anggota penguat kuasa itu sendiri.

“Ciri-ciri ini hendaklah terus dipupuk dan dikekalkan dalam jiwa kita setiap masa. Kerjaya ini bukan semata-mata sebagai satu pekerjaan untuk mencari nafkah tetapi lebih kepada amanah.

“Justeru, ia perlu komitmen terhadap tugas serta keperluan dan kesanggupan untuk meningkatkan kemahiran supaya masing-masing boleh memaksimumkan sumbangan kepada jabatan, Datuk Bandar dan Kuala Lumpur,” katanya.

Tidak ada komentar: