18.9.08

Berita harian online,selasa 16 september 2008

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempertimbangkan sebarang cadangan bagi memperbaiki Draf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 (DPBKL) yang kini dalam peringkat pendengaran awam sebelum diwartakan sepenuhnya selewat-lewatnya Februari depan.

Menterinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, walaupun tarikh tutup sudah berakhir, namun pihaknya masih mempertimbangkan cadangan yang diusulkan bagi membolehkan draf itu dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Kami menerima banyak cadangan membina dan bantahan sehingga tarikh tutup bantahan pada 31 Ogos lalu. Ahli Jawatankuasa Mendengar Bantahan yang dilantik akan mempertimbangkan semua bantahan yang diterima dengan adil mengikut garis panduan tertentu.

“Kami menghargai semua maklum balas yang diterima walaupun ada pihak yang menentang dan menyokong DPBKL dan akan segera membawanya kepada ahli jawatankuasa sehingga Disember ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan di Bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid Jamek di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Datin Seri Siti Nooriah Ana Razak; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop.

Zulhasnan berkata, draf itu akan diwartakan selepas semua maklum balas yang diterima dapat dipertimbangkan sepenuhnya bagi membolehkan pembangunan di ibu negara dilaksanakan secepat mungkin.

“Selepas dibawa kepada Jawatankuasa Mendengar Bantahan, draf akan dihantar kepada kementerian dan kemudian kepada ahli jawatankuasa terakhir sebelum diwartakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulhasnan turut mengumumkan mengenai peningkatan permohonan lesen penjaja sempena Ramadan sejumlah 3,547 berbanding 2,795 tahun lalu.

Tidak ada komentar: