15.11.08

Kementerian Kerjaraya arah LLM atasi isu penduduk dalam dua bulan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya berjaya memberi jalan penyelesaian kepada tiga masalah yang dibangkitkan penduduk sekitar Hulu Klang yang menetap berhampiran pembinaan Persimpangan Bertingkat Hill View, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dekat sini.

Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata beliau sudah mengarahkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menyelesaikan segera masalah itu dalam tempoh dua bulan sebelum lebuh raya itu dibuka kepada laluan kenderaan pada 1 Januari depan.


Beliau berkata, LLM akan membina sebuah pusingan U, khusus untuk laluan kereta saja bagi memudahkan mereka memasuki Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Duke.


“Pembinaan pusingan U adalah untuk melicinkan pergerakan kenderaan di kawasan berkenaan memandangkan pada waktu puncak, hampir 120,000 kenderaan menggunakan MRR2.

“Saya hadir hari ini (semalam) untuk memberi penjelasan kepada penduduk yang risau berhubung penyuraian trafik di kawasan ini kerana ia berhampiran kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui selepas melawat susur keluar itu semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah LLM, Mohammad Razali Othman; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Sementara itu, laman web LLM menyatakan pembinaan Duke sepanjang 18 kilometer yang bermula Oktober 2005 merentasi dari timur ke barat di sepanjang koridor Kuala Lumpur dan mempunyai tiga hubungan iaitu Hubungan Duta, Hubungan Ulu Klang dan Hubungan Karak.

Mohd Zin berkata, pihak konsesi Duke akan turut memperbesarkan jalan susur keluar itu mengikut piawaian antarabangsa bagi membolehkan kenderaan bergerak lancar.

“LLM akan memaklumkan perkara ini kepada pihak konsesi di mana kita tentukan jalan susur keluar melalui persimpangan itu akan dibesarkan sebanyak lima meter bagi membolehkan dua lorong di bina,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga meminta pihak konsesi menambah penghadang bunyi.

(BERITA HARIAN ONLINE 14 NOVEMBER 2008)

Ulasan saya mengenai artikel ini ialah pihak LLM sekarang cuba membuat yang terbaik terhadap bandar Kuala Lumpur.Mereka akan mencari jalan untuk membesarkan jalan sekaligus mengurangkan kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur itu..

Tidak ada komentar: